Showing posts with label karya. Show all posts
Showing posts with label karya. Show all posts

Saturday, October 6, 2012

aku tercipta daripada rusuk kamu

Sekadar Renungan Bersama...


Islam sangat mengambil berat mengenai berbuat baik kepada isteri. Rasulullah s.a.w. dalam wasiat terakhirnya dalam Haji Perpisahan turut menyentuh kepentingan berbuat baik kepada wanita dan isteri. Imam An-Nawawi sendiri turut meletakkan satu bab dalam kitabnya Riyadhus-Solihin yang mengumpulkan koleksi hadith-hadith Rasulullah s.a.w. yang menyeru kepada berbuat baik kepada kaum wanita.

Isteri atau wanita dijadikan Allah dengan fizikal dan emosi yang lemah. Fizikal dan emosi yang lemah tidak bermakna akal mereka turut lemah. Kemampuan akal fikiran mereka kadangkala jauh lebih baik daripada lelaki tetapi dari sudut emosi dan perasaan, mereka mudah terguris dan terluka. OIeh sebab itu, suami yang baik harus memahami dan menyelami perasaan dan emosi isterinya.

Pengetahuan mengenai sifat dan sikap wanita, kelemahan dan kekurangan mereka perlu diketahui dengan sebaiknya bagi mewujudkan perasaan toleransi dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Perhatikanlah Hadith Rasulullah s.a.w. yang menganjurkan sikap yang perlu ada pada para suami dalam menangani kekurangan dan kelemahan wanita sebagaimana sabdanya :

"Terimalah wasiat ini yang aku wasiatkan kepada kamu iaitu berbuat baiklah kepada wanita kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk. Bahagian yang paling bengkok pada rusuk ialah pada bahagian atas-Nya. Jika engkau hendak meluruskan bahagian yang bengkok itu maka nescaya engkau akan mematahkannya, tetapi jika engkau membiarkannya, maka ia akan sentiasa bengkok, maka berbuat baiklah kepada wanita".

Tulang rusuk yang bengkok yang dinyatakan dalam Hadith tersebut menggambarkan kekurangan wanita yang harus diterima dengan hati yang redha. Tetapi ini tidak bermakna kaum lelaki tidak mempunyai kekurangan atau kelemahan. Apa yang dimaksudkan daripada Hadith ini ialah suami yang baik ialah suami yang boleh menerima kekurangan yang ada pada isterinya. Jika suami boleh menerima kekurangan dan kelemahan isteri dan isteri boleh menerima kekurangan suaminya, maka akan bahagialah rumahtangga tersebut. Jika seorang suami hendakkan kesempurnaan pada isterinya maka sudah pasti dia tidak akan menemuinya, walaupun bilangan isterinya bertambah atau silih berganti. Para suami sama sekali tidak akan dapat menemui isteri yang mampu taat kepadanya dan mendengar kata-katanya seratus peratus tanpa ada perasaan tidak puas hati atau bangkangan. Namun kekurangan tersebut harus dilihat secara positif sebagaimana Firman Allah dalam surah An-Nisa' ayat 19 :

"Dan bergaullah kamu dengan mereka ( isteri-isteri kamu itu ) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)".

Contoh yang terdekat yang pernah berlaku mengenai kisah seorang wanita yang melecur muka dan belakang badannya akibat disimbah cuka getah oIeh suaminya yang berang apabila keinginannya untuk melakukan hubungan kelamin ditolak. Sesungguhnya Islam melarang sama sekali deraan dan siksaan kepada isteri sama ada deraan fizikal atau pun emosi. Sebarang ketidak puasan oIeh suami terhadap isterinya tidak harus disalurkan melalui siksaan fizikal atau emosi. Rasulullah s.a.w. pernah menasihatkan suami yang memukul isterinya dengan sabdanya:

"Janganlah salah seorang dari kamu dengan sengaja memukul isterinya seperti memukul hamba kerana pada akhirnya dia akan menidurinya juga".

Hak dan tanggungjawab suami terhadap isteri telah digariskan oIeh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadith-hadithnya. Ketika mana Rasulullah ditanya oIeh Mu'awiyah bin Haydah mengenai hak isteri yang tertanggung ke atas suaminya. Rasulullah s.a.w. menjawab:

"Kamu memberi makan kepadanya jika kamu makan dan mengadakan baginya pakaian jika kamu memakai pakaian dan jangan sekali-kali memukul muka dan jangan menghina dan jangan mengasingkan diri daripada tempat tidur isterinya untuk tujuan pengajaran melainkan di rumah".

(Riwayat Abu Daud)

Hadith ini jelas merupakan panduan terbaik bagi para suami dalam memimpin bahtera perkahwinan mereka. Makanan dan pakaian merupakan tanggungjawab suami yang perlu diberikan kepada isteri. Malah dalam satu riwayat yang lain sepotong makanan yang disuapkan ke mulut isteri turut diberikan ganjaran pahala oIeh Allah SWT. Hadith ini turut menjelaskan mengenai tegahan Rasulullah s.a.w. daripada memukul isterinya di bahagian muka. Ini adalah kerana bahagian muka adalah lambang kepada kemuliaan dan kehormatan selain daripada gambaran kecantikan seorang wanita. Larangan memukul bahagian muka tidak terhad kepada kaum wanita sahaja tetapi turut merangkumi semua golongan lelaki dan wanita, kanak-kanak dan orang tua.

Sikap menghina, mencerca dan mengeluarkan perkataan keji di antara suami dan isteri serta kaum keluarga mereka adalah ditegah dan dilarang oIeh Islam.

Rasulullah s.a.w. merupakan model terbaik bagi para suami dalam memimpin bahtera rumahtangga. Malah Rasulullah s.a.w. sendiri menyifatkan Baginda adalah orang yang paling baik terhadap kaum keluarganya sebagaimana Sabdanya yang bermaksud :

"Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap kaum keluarganya dan aku sebaik-baik orang terhadap keluargaku".

(Riwayat At-Tirmizi)

Malangnya amat mendukacitakan apabila ada segelintir individu tertentu yang baik terhadap rakan-rakan dan sahabat-handainya, tetapi zalim dan buruk akhlaknya terhadap kaum keluarganya sendiri.

Untuk mengembalikan keharmonian dan kebahagiaan rumahtangga, setiap pasangan mestilah bermuhasabah diri terhadap tanggungjawab dan kewajipan masing-masing. Setiap orang dari pasangan harus berlapang dada untuk menerima kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri mereka. Bagi suami segala sifat buruk seperti panas baran, ego , suka mengungkit-ungkit, kaki pukul dan seumpamanya harus dibuang dari diri mereka. Jika sifat-sifat buruk ini tidak dibuang maka sudah tentu keharmonian rumahtangga tidak akan tercapai.

Harus diingat, kehidupan berumahtangga ibarat kapal kecil di tengah lautan, sentiasa dilambung ombak dalam cuaca yang tidak menentu. Dalam hal ini, suami yang diibaratkan sebagai nakhoda sepatutnyalah yang menentukan selamat atau tidak pelayaran kapal tersebut.

Keluarga yang harmoni akan mendatangkan keamanan kepada masyarakat, manakala masyarakat yang baik, akan mendatangkan kemajuan kepada negara.

"Dan antara tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya) bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bahagia dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan kasihan belas. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir".

(Ar-Rum: 21)

Monday, August 13, 2012

di kala aku merinduimu ya Rasulullah..

assalamualaikum warahmatullah...

di kala aku merinduimu,
ya Rasulullah...
merinduimu..
merinduimu..
merinduimu..
wahai kekasih Allah..
wahai pencinta ummat..
wahai insan teragung..
Muhammad ibn Abdullah...

aku merinduimu..
wahai lelaki terhebat...
pemimpin yang adil...
suami yang terbaik...
anak yang paling soleh...
ya Rasulullah...

aku merinduimu..
engkau menyuluh jalan ku dengan cahaya Allah..
engkau guru ku..
engkau pujaan ku..
engkau kekasih ku..
ya Rasulullah...
T__T



Monday, March 26, 2012

Erti kesetiaan


assalamualaikum..

Disebuah pekan kecil di Switzerland, terdapat sebuah tugu seekor anjing disebuah stesen keretapi. Ada cerita menarik disebaliknya.

Pada suatu hari tuan anjing bersama anjingnya keluar dari rumah dan dalam kedinginan mereka menuju ke stesen keretapi tersebut. Hari itu tuannya terpaksa meninggalkan anjingnya sedang dia terpaksa keluar ke pekan lain atas satu urusan.

Sebaik sahaja keretapi sampai, tuan nya mengusap-usap anjingnya dan dengan penuh manja seperti biasa anjing menjilat-jilat tuannya. Tuannya berangkat dan berlalu pergi bersama keretapi yang menjalar di atas landasan pejal, meninggalkan anjingnya dibelakang.

Apabila sampai dipekan yang dituju, tuannya diserang sakit mengejut. Penyakit itu membawa kepada kematian lalu jenazahnya disemadikan disana.

Keesokannya seperti semalam, anjing ini keluar dalam kedinginan menunggu dengan penuh setia tuannya di stesen. Apabila keretapi sampai, ia menyalak-nyalak dan melompat kegembiraan. Ia duduk bertentangan dengan pintu gerabak, dan apabila pintu terbuka semua penumpang melangkah keluar namun ia tidak menjumpai wajah tuannya. Kereta api kemudiannya berlalu pergi membelah hari dan dengan sugul ia mengatur langkah pulang.

Keesokannya ia datang lagi untuk menunggu tuannya dengan penuh setia. Begitulah hari-hari ia ke stesen tersebut. Ia datang dengan melompat-lompat riang sambil menyalak-nyalak di sekeliling stesen kegembiraan. Apabila keretapi sampai, sambil menahan nafas bagi meledakkan rasa menerkam dan menjilat manja, tuannya pula akan mengusap kepalanya. Penumpang seperti biasa melangkah seorang demi seorang namun tidak ada wajah tuannya. Keretapi kemudiannya berlalu pergi. Dengan wajah sugul dan tertunduk pilu ia melangkah longlai berlalu pulang meninggalkan stesen.

Ia tekun mengulang perkara yang sama setiap hari selama bertahun-tahun, musim terus silih berganti ia tetap menyalak riang sebelum keretapi datang dan kemudian pulang dengan sugul, namun dimanakah tuannya?

Sehinggalah anjing itu tua, ia hanya duduk dan mundar mandir disekitar stesen namun masih tetap setia menunggu tuannya pulang. Dia kemudiannya tidak kemana-mana hanya mampu berbaring lemah dengan wajah penuh sayu, menanti dan terus menanti. Panjang episod dukanya. Dalam nafas-nafas terakhir ia masih setia menunggu di tempat yang sama tuannya membelai buat kali terakhir, suatu masa lampau. Di stesen itu akhirnya ia menemui ajal pada sebuah penantian yang tiada noktah.

Begitulah setianya seekor anjing. Pihak stesen yang merakam kisah ini kemudiannya membina sebuah tugu sebagai lambang sebuah kesetiaan

Apabila kita melihat kepada kisah panjang ini benarlah kata-kata Sayidina Ali :

”Aku belajar tentang takwa daripada kesetiaan seekor anjing kepada tuannya”

Alangkah malu sekiranya ingin diandingkan antara kita sebagai manusia dengan Allah dan seekor anjing dengan tuannya. Lihatlah kepada anjing bagaimana ia dilayan. Tuan anjing hanya memberinya makan di bawah meja, tidur pula di ruang asing di luar rumah. Ketika hujan turun tempiasnya membasahi anjiing lalu menggigil kesejukan. Satu-satu kelebihannya ialah dia sedar bahawa dia bukan terbiar sepertit anjing jalanan yang tidak bertuan. Itu sahaja! Namun anjing tetap setia dan bersyukur.

Sedangkan kita sebagai manusia bukan menerima makan lebih di dunia ini, bukan menumpang di rumah asing, sebaliknya kita menguasai dunia ini. Begitu banyak kurniaan daripada Allah sehingga kita diberikan tunduk hormat oleh para malaikat pada hari pertama kejadian kita.

Begitu besar apa yang kita terima daripada Allah tetapi malangnya masih belum mampu untuk setia kepada Nya. Apakah sebenarnya yang ada pada seekor anjing sehingga mempunyai nilai kesetiaan yang tidak terkalahkan ini.

Dalam jalinan perhubungan kehidupan seharian, nilai tertinggi ialah kesetiaan. Lihatlah kepada pasangan suami isteri, apakah ikatan teras mereka kalau bukan kesetiaan?

Apakah akan jadi apabila kesetiaan tiada? Masih adakah hubungan?

Kekayaan dan kesenangan mungkin tiada, termasuklah luput kegembiraan atau apa sahaja termasuk yang paling didambakan iaitu kasih sayang, mereka masih tetap bersama sekiranya masih ada kesetiaan!

Begitulah tingginya nilai kesetiaan. Dan kesetiaan yang paling asa adalah kepada Allah, Tuhan yang memelihara segala kebajikan hidup kita.

copy from facebook

Tuesday, March 20, 2012

apa itu cinta..?


cinta itu satu anugerah...
cinta itu satu hadiah...
jika silap langkah ia bisa menjadi musibah...
cinta bisa mengubah...
pengemis jadi kaya...
hartawan jadi papa...
si tuli bisa mendengar...
pendengar setia menutup telinga...
si bisu bisa bicara...
si pemidato kelu lidahnya...
si buta bisa melihat...
si celik tertutup pandangannya...
cinta itu beda pada setiap orang yang merasainya..
kerana tiada tulisan dan lisan mampu mendefinisikan cinta...
tapi hanya luhur perbuatan membuktikan segalanya...
tuntutlah agar diri mu di cintai...
dan carilah cinta yang abadi...
cinta Ya RABB..

by ummu umarah

Friday, December 23, 2011

hikayat sehelai kertas


Aku adalah kertas
Digenggam kemas oleh sang manusia
Untuk dijadikan bahan berguna
Boleh juga dijadikan sampah
Aku adalah kertas
Yang jasa tiada berhenti kuberi
Sang manusia berlumba-lumba mengejar aku
Kerana aku sumber mereka menzahirkan apa yang mereka rasa




"TERKESAN"

assalamualaikum.. ini adalah hasil penulisan skrip dekon saya sendiri..
semoga memberi panduan kepada anda :)


Babak I
Lampu pentas dimalapkan, suasana menjadi suram, alunan suara orang membaca surah Yasin (beramai-ramai) diiring dengan suara seorang wanita mengucap kalimah syahadah semakin kedengaran. Seorang lelaki muda berpakaian lusuh memasuki ruang pentas. Lelaki itu berjalan dalam keadaan lemah dan lesu, bunyi esakan lelaki itu mengiring alunan bacaan Al-Quran itu. Lelaki itu berhenti di tengah pentas, melihat di sekeliling seperti mencari sesuatu.

Zahir : Zahra.. Zahra.. dimanakah kekasihku zahra… (meraup rambut yang tidak terurus). Kau tahu mana Zahra kan?! Mana dia?! (menuding jadi dengan riak wajah yang bengis).

Lelaki itu terus melutut di hadapan pentas sambil menangis. Bunyi esakan semakin kuat.

: aku insan hina! Aku insan yang tidak mengenal agama, tuhan, bahkan cinta ilahi ku pandang enteng. Ya! (berdiri)Zahir ku tidak seindah namaku, Muhammad Zahir Muqarrabin, anak dato’ Malik. Agama ku cuma memenuhi maklumat kad pengenalan sahaja. aku ada kereta besar! Mewah! Kepunyaan bapak aku. Aku suka mencuba benda baru. Buktinya, seluruh kelab malam dan disco di kota Kuala Lumpur aku jelajah. Perempuan? Tak perlu aku cari, beratus perempuan mahukan aku. Macam kain persalinan, begitulah perempuan dalam hidupku. Bukan salah aku jika ada yang menanggung hasil gelodak nafsuku, sudah ku kasi amaran, mereka yang mahu, hanyut dek lautan kekayaan aku kononnya! Menyebut fasal perempuan, Iklil Zahra Zainal Abidin mengusik hati lelakiku. Manakan tidak, aku dikelilingi perempuan sundal, yang hidup mereka bertelanjang. Menconteng muka mereka dengan calitan neraka, hadir Zahra yang cantik zahir batinnya, bibirnya cantik dengan alunan zikrullah, lirik matanya menghadap Ilahi setiap kali ku intai dari kamar masjid. Ya, dia cantik.. tapi bagiku, cantik itu harus kumiliki, dengan sedikit habuan wang ringgit, pasti dia milikku.
Lampu menjadi terang.

: zahra, nah bunga untuk zahra.. abang ada hadiah untuk zahra.. pejam mata. (mengeluarkan sebentuk cincin daripada poket).. ini untuk zahra… apa? Zahra tak mahu? Kenapa? Penat-penat abang pilih, zahra tak mahu pula..(simpan cincin ke dalam poket baju semula). Buku ni untuk abang ke?.. “panduan hidup bersyariat”..thanks sayang.. zahra nak pulang ke rumah ya…? Jauh juga rumah, mari abang hantarkan.. tapi temankan abang pergi makan dulu ya..beritahu abah ummi? .. kemudian lah, nanti beritahulah mereka.. jom! Hahaha..siaplah kau malam ni, nak menyombong dengan aku ya..

Bunyi tangisan diselang seli esakan kuat memenuhi ruangan pentas.

: maafkan aku zahra.. maafkan aku.. maafkan lelaki yang telah membunuhmu zahra.. maafkan aku..

selang beberapa saat, lelaki itu ketawa. Lampu pentas menjadi terang.


: Zahra sayangkan aku.. dia takkan marah padaku. Jauh sekali mahu menghukumku… dia pasti maafkan aku!Ya!. Jadi lebih baik aku cepat cari dia sekarang!. (berterusan ketawa riang).

Lelaki itu keluar dari pentas sambil melaung nama Zahra berulang kali.


Babak II


Lampu dimalapkan. Ada bunyi burung berkicaan, bunyi biola digesel mengiringi kicauan burung-burung kecil yang cantik. Seorang perempuan yang cantik bertudung, memakai baju kurung putih masuk ke ruangan pentas.

Zahra: lalalalala…lalalalala… sepertinya ada orang yang memanggilku. Zahra.. Zahra.. (membuat mimik seperti memanggil ) tapi di mana dia? (mencari-cari di kiri dan kanan). Hurm.. biarlah, sekiranya ku jumpa lagi dengan gerangan empunya suara itu, pasti ku kenalkan diriku.. (bergerak sekeliling pentas dan berhenti menghadap penonton). Namaku Iklil Zahra Zainal Abidin, aku seorang yang periang, ceria, tapi pemalu dengan sang jejaka.. bukan sombong, tetapi abah dan ummi mendidik aku begitu. Kerana Agama, kata mereka. Aku suka melihat permandangan yang cantik, mendengar deruan ombak di pantai, mendengar cerita sang serangga di dusun Atuk.(ketawa) Aku suka ketenangan… dan… aku juga suka pada seorang jejaka…(tersipu malu lalu menutup muka dengan tangan). Apa? Siapakah dia? Kamu mahu tahu siapa jejaka itu?.. ini rahsiaku, aku hanya bercerita dengan hati kecilku. Bahaya jika diheboh satu cakerawala, bisa ada telinga yang menangkapnya… Apa? Kamu mahu tahu juga? Baiklah, tapi janji ia satu rahsia..!

Pentas menjadi gelap.

Zahra: tidak!

Lampu pentas kembali malap.

:Bagaimana dia boleh tahu? Bagaimana…? (mundar- mandir sekeliling pentas). Tolong lah, wahai hati, tabahkan diriku. Aku tidak mampu berhenti menyukainya, tetapi mereka tidak membenarkan aku bersama dia. Berkongsi suka duka, mencipta rumah tangga bahagia. tapi… maafkan Zahra, abah.. ummi.. zahra mahu mengenalinya, mana tahu sekiranya tercipta bagi dia husnul khatimah. Seperti di harap oleh semua manusia..(ketawa) perasaan cinta, kasih sayang sungguh indah untuk dimengerti. Insan yang bernama zahir muqarrabin memberi aku cinta untuk dirasai, kasih sayang yang berbelah bahagi. Mana mungkin mulut-mulut di sekeliling memuntahkan kata-kata kesat pada lelaki yang tidak jemu mencurahkan cinta dan kemewahan kepada ku. Tapi… (menangis)

:kasih sayang yang ku dambakan hanya sementara.. cinta yang aku rasai hanya membutakan hatiku.. ketulusan yang hadirnya dulu dari pandangan mata zahir hilang, diganti dengan sepasang mata galak dengan gelodak nafsu syaitan bertopengkan manusia.. !!!!

Lampu menjadi malap, pentas menjadi suram.

:kat mana ni abang..? buat apa datang sini abang..? apa yang abang nak buat ni..? jangan… lepaskan Zahra abang… jangan apa-apakan Zahra abang… tolong lah..!!..abang..!!

Cinta yang selama ini aku pelihara tercemar malam itu juga.. aku, yang dahulunya disanjungi, dikasihi, dipuja, menjadi mangsa pemuas nafsunya. Tanpa belas kasihan aku diratah, maruah ku di pijak, dihina. Kalaulah ku akur nasihat umi, kalaulah kuingat pesan mereka. Umi… abah… maafkan zahra… maafkan anakmu ini….


Babak III

lampu dipadamkan. Bunyi tangisan dari luar pentas kedengaran. Seorang wanita memasuki pentas sambil memegang sehelai baju milik Zahra.

Umi zahra:Zahra.. zahra.. mana kamu nak… umi di sini zahra… (esakan kedengaran semakin kuat) anakku, mengapa kau buat begini sayang.. mengapa bisa yang kau balas setelah umi beri madu kepadamu… kenapa kau tinggalkan umi… baru semalam kita bercerita tentang kumbang dan bunga, sekarang…. (duduk di tengah pentas)… zahra… meh duduk sini, umi dodoikan zahra ya…

Syair berkumandang, dibaca oleh wanita itu dalam nada sayu, diselang seli dengan esakan

Dengarlah pesan anakanda tercinta,
Kalau bercinta biarlah berpada,
Jangan sampai tercemar ternoda,
Supaya hidup menyesal tiada.

Lampu padam. Kedengaran suara lelaki menjerit dengan marah.


Abah Zahra :Diam!! Sudah! Aku nak cari jugak jantan tak guna tu! Tergamak dia rogol anak kita..! apa salah kita mah, apa salah kita..?? zahra, abah akan balas perbuatan syaitan tu zahra, terkesan sungguh kepergian kau kepada kami, abah tak boleh berdiam diri, umi kau dah tak siuman sebab syaitan tu! Abah dah tak mampu berdiam diri.. ini abah zahra.. abah!

Lelaki itu melakon kan seolah-olah menemui zahir.

:Kau! Kau yang merosakkan arwah anak aku..!! (lagak memukul zahir dengan kayu)Ahh.. polis! Baik aku lari… (cuba melarikan diri tapi seolah olah ditahan daripada arah hadapan)Tuan, saya tak salah tuan, syaitan ni yang bersalah tuan.. dia rogol anak saya! Tuan, tangkap dia.. tuan…(tangan seperti digari, lalu keluar dari panggung.)


Suara latar: Begitu lah nasib seorang jejaka,
Pabila hidup berbuat dosa;
Setiap perbuatan terkesan juga,
Mendapat padah pada akhirnya.

Wednesday, February 9, 2011

Hati berbucu


tekap wajah bengis
dibalik senyum pahit
amarah senada rasa
jerkah keliling suasana
selaut ruang hati juga melimpah

sentap segugus ketakutan
mencuri seribu perhatian
mulut berat terkunci
mata juga yang berkata - kata.

bila hati sudah berbucu
tembok batu
roboh sembah ke bumi

bila hati sudah konkrit
nyawa mereka
menjadi taruhan.

Wednesday, February 2, 2011

jernih mata itu

Dalam-dalam
Kutatap mata itu
Menghayati setiap garis urat
Di dada mata putih itu
Terpancar suka dan duka
Membuka jendela hidupnya.

Renungan mata itu
Menjala seluruh perasaan
Memerangkap naluriku
Untuk terus menyingkap episode duka
Di balik tirai matanya.

Tajam mata itu
Memanah dada hatiku
Membongkar lubang prihatin
Yang jauh bermukim dihati.

Redup mata itu
Milik serikandi perkasa
Membukit menabur harapan
Pada anak tercinta.

menangis di kaki langit


Malam gerhana
Menggigit sendu dihati
Merobek memori
Yang kian pudar
Disimbah waktu lalu.

Bertamu aku di kaki langit
Titis permata gugur
Melihat bintang
Kelam tidak tercahaya
Di dada langit luas

Oh bintang,
Tika aku bersamamu
Sinarmu bercahaya
Terang menyuluh
Jendela hidupku
Namun kini
Aku hanya mampu
Menangis dikaki langit.

My Blog List

Daisypath Friendship tickers
get this widget here